Niaga atau makan Gaji?
Perlu dijelaskan di sini terutamanya kepada para remaja yang bakal menempuh zaman 'mencari pendapatan' sendiri bahawa kedua-dua bidang ini sama ada bekerja makan gaji atau kerja sendiri adalah sama dari segi tanggungjawab dan disiplinnya. Apa sahaja bidang yang kita pilih, yang paling penting dan menjadi penentu kepada kejayaan kita adalah usaha serta dedikasi kita terhadap tugas yang kita pilih.
Mitos yang mengatakan kerja sendiri (berniaga) akan memberi ruang masa yang fleksibel dan 'bebas' kepada kita perlu didefinisikan kembali. Bekerja sendiri bukan tiket untuk kita membiarkan masa bekerja kita tunggang-langgang tanpa pengurusan yang baik. Untuk berjaya, seseorang yang bekerja sendiri juga perlu mengamalkan pengurusan masa yang sesuai dan tepat dengan pilihan urusan perniagaan kita. Kata kunci yang paling penting adalah disiplin! Ya, bila kita bekerja sendiri, pengurusan masa adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri. Kita tidak terikat dengan tempoh jam 8 pagi hingga 5 petang seperti mereka yang bekerja makan gaji. Namun, perlu dingatkan bahawa tempoh masa yang bagaimanapun yang kita pilih perlu dimanfaatkan dengan bertanggungjawab. Andai kita gagal mengurus masa kerja kita dengan baik, proses kerja sendiri kita tidak akan ke mana-mana, malah berisiko akan terus gagal.
Bekerja makan gaji memang selesa dan kurang risiko berbanding kerja sendiri. Walau bagaimanapun, jika kita mengabaikan kata kunci disiplin!, seperti bekerja sendiri tadi bermakna kerja kita juga tidak akan ke mana-mana. seseorang yang makan gaji akan dinilai oleh majikan masing-masing tahap kerja mereka untuk satu tempoh tertentu, jika tidak mampu untuk mencapai satu target pencapaian yang telah ditetapkan bermakna kerja makan gaji juga akan berisiko untuk ditamatkan.
Pilihan sama ada bekerja sendiri atau makan gaji terpulang sepenuhnya kepada diri kita sendiri. Faktor luaran seperti pengaruh ibu bapa, rakan sebaya, adik-beradik dan sebagainya hanyalah maklumat tambahan sahaja. Kata akhirnya masih teletak kepada diri kita sendiri. Nilaikan sebaiknya kemampuan serta potensi yang ada dalam diri kita sendiri kemudian minta pandangan orang lain serta dapatkan maklumat yang betul dari sumber yang betulmelalui pembacaan dan pengalaman.
Comments
Post a Comment